Saturday, September 27, 2008

Tadarus Al-Quran Dan Ifthor Jamei Masjid Assomadi

Tanggal 27 Ramadhan 1429H bersamaan 27 September 2008, 2 ekor lembu telah ditumbangkan bagi penyediaan juadah berbuka puasa. Kerja-kerja melapah daging dan penyediaan juadah berbuka dilakukan secara gotong royong oleh ahli-ahli jemaah. Seperti tahun-tahun yang lalu, program sebegini dapat mengeratkan lagi silaturrahim diantara jemaah.

Program yang bermula dengan Tadarus Al-Quran yang diketuai oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Shukri Ramli, Ahli Jawatankuasa Masjid Assomadi Geting dan dihuraikan oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Ropein Hassan, Pengarah Jabatan Pembangunan Islam Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam(MPKB-BRI).


Tuesday, September 23, 2008

Amal Maaruf Nahi Mungkar

Jawatankuasa masjid menerima aduan orang ramai mengenai segelintir ahli qariah yang hadir ke masjid pada hari Jumaat tetapi tidak melaksanakan solat Jumaat sebaliknya berbual kosong dibeberapa lokasi di sekita masjid. Antara lokasi yang dikenal pasti ialah wakaf di tepi jalan dan bawah pokok kelapa di belakang masjid.

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa masjid yang diketuai oleh Imam
Tua dan Imam Muda secara bergilir-gilir telah turun menemui mereka dan mengajak mereka untuk bersama mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib di atas masjid seterusnya menunaikan solat Jumaat.

Jawatankuasa masjid juga menyeru kepada ahli masyarakat untuk menasihati dan memastikan anak-anak mereka tidak tertinggal melaksanakan ibadah solat Jumaat.

Ramadhan Datang Lagi

Alhamdulillahirabbil 'Alamin.

Pujian dan syukur yang tidak terhingga kepada Rabbul Izzati kerana dengan limpah rahmatNya, Ramadhan 1429H dapat dirasai. Semoga Ramadhan ini dapart menjadi madrasah Ilmu kepada semua. Berikut adalah aktiviti-aktiviti Masjid Assomadi sepanjang Ramadhan 1429H ini.

1- Kuliah Ramadhan

Bermula 3 Ramadhan 1429H kuliah Ramadhan akan memenuhi program Ihya' Ramadhan tahun ini. Setiap hari kuliah Subuh dan Asar akan disampaikan oleh pengkuliah-pengkuliah tempatan. Manakala selepas solat Jumaat pula kuliah akan disampaikan oleh pengkuliah jemputan yang tersohor. Berikut ialah jadual kuliah Ihya' ramadhan masjid Assomadi bagi tahun 1429H/2008M.

(Ahli Jawatankuasa masjid memohon maaf di atas kelewatan mengatur jadual kuliah. Segala kekurangan maaf dipohon)

2 - Solat Terawih

3- Iftor @ Berbuka Puasa

Setiap hari akan diadakan majlis Iftor. Sebanyak 150 bungkus nasi akan disediakan oleh penderma.

4- Qiamullai

Berlangsung pada 10 malam terakhir. Pada 10 malam terakhir ini orang ramai digalakkan untuk bermalam di masjid. Walau bagaimanapun kebersihan masjid perlulah diutamakan. Semoga amalan kita diterima dan dapat bertemu dengan MALAM LAILATUL QADR.

5- Tadarus Al-Quran

Diadakan secara sukarela oleh ahli jemaah selepas kuliah Asar dan juga selepas solat Tarawih.

6- Tadarus & Iftor Peringkat Masjid Assomadi

InsyaAllah program ini akan diadakan pada 27 Ramadhan 1429H bersamaan 27 September 2008 iaitu hari Sabtu bermula pukul 6:00 petang. Semua dijemput hadir dan pastikan anda hadir awal bagi mendengar huraian ayat-ayat tadarus yang akan disampaikan oleh Pengkuliah Jemputan.


Wednesday, September 17, 2008

Hampir RM 20 Ribu Bantuan Untuk Anak Yatim

Hampir 200 orang anak yatim di dalam qariah Masjid Assomadi Geting menerima sumbangan tahunan berbentuk bantuan kewangan daripada Tabung Anak Yatim Assomadi. Majlis yang seumpama itu telah berlangsung 40 kali semenjak ditubuhkan. Kesemua anak yatim iaitu seramai 197 orang yang berusia 16 tahun ke bawah yang bermastautin di dalam qariah layak menerima bantuan ini.
Menurut PengerusiTabung Anak Yatim Assomadi Geting, Hj Mokhtar Bin Abdullah, bantuan yang diberikan itu diperolehi daripada sumbangan orang ramai, terutamanya penduduk sekitar dan juga musafir yang menggunakan masjid ketika bermusafir. Tabung-tabung diwujudkan di masjid bagi memudahkan orang ramai menyalurkan derma kepada anak yatim.

Pihak Pengurusan juga kini sedang berusaha untuk mewujudkan akaun bank bagi tabung ini untuk memudahkan orang ramai menyalurkan derma mereka. InsyaAllah nama bank dan nombor akaun tersebut akan dipaparkan di blog ini bagi memudahkan derma disalurkan.

Menurut beliau lagi, anak yatim yang menerima bantuan ini tidak lagi perlu membayar zakat fitrah kerana pihak engurusan tabung anak yatim telah melunaskannya.

Majlis tersebut diserikan dengan ceramah motivasi oleh Ustazah Hajjah Che Limah Ab Rahman, Pegawai Halaqat Tumpat dan disampaikan oleh Penyelia DUN Pengkalan Kubor.