Saturday, August 30, 2008

Malam Jasamu Dikenang

Seramai 60 orang mereka yang telah berjasa kepada pembangunan Islam dan dakwah di qariah Geting di raikan oleh penduduk setempat. Program yang dianjurkan oleh jawatankuasa masjid turut mendapat sokongan dengan kehadiran YAB Tuan Guru Dato' Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim.

Di antara tujuan utama program ini ialah untuk mengenang semangat kerjasama masyarakat terdahulu yang bergotong royong membina masjid serta membangun dan menghidupkan dakwah Islamiyyah sehingga menjadi satu mercu tanda di Tumpat.
Program yang bermula selepas solat Isya' itu dimulai dengan bacaan Al-Quranul Karim oleh Naib Johan bahagian qari Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Kelantan yang merupakan ahli qariah Masjid Assomadi iaitu Mohd Nazri Bin Daud dari Pondok Haji Ahmad Geting.

Seterusnya YAB Tuan Guru menyampaikan tazkirah kepada ahli qariah selama 45 minit. Antara intipati penting didalam ucapan beliau ialah perlunya manusia untuk mengenang jasa yang Esa kerana Dialah segala nikmat dan rahmat yang ada di muka bumi ini dapat dikecapi.

Diakhir program YAB Tuan Guru sudi menyampaikan sumbangan saguhati kepada bekas-bekas imam, pengkuliah dan ahli jawatankuasa masjid yang dulu.

Saturday, August 23, 2008

Ahlan Wasahlan Wamarhaban Bikum


Assalamualaikum WBT.

Alhamdulillahi Rabbil A'lamin. Segala puji dan syukur kami panjatkan kepada yang Esa kerana dengan ilmunya, dapat kita bersua diruang siber ini.

Selamat bertemu, semoga kita di dalam lindunganNya. Pembinaan blog ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan di antara sesama insan juga untuk memaklumkan perkembangan terkini Masjid Assomadi Geting. Di samping itu dapat bertukar-tukar fikiran tentang penambah baikan bagi meluaskan lagi skop fungsi masjid.

Kami, ahli jawatankuasa masjid amat mengharapkan komen-komen positif daripada anda untuk kebaikan bersama. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah SWT dan kekurangan itu berpunca dari kelemahan kami, pihak pentadbiran masjid.

Wallahu A'lam...