Geting - 199 orang anak yatim di dalam kariah Masjid As-Somadi Geting menerima sumbangan raya daripada Tabung Anak Yatim masjid. Tabung yang ditubuhkan pada 26 November 1989 telah 20 tahun memberi khidmat kepada anak-anak yatim di Mukim Geting dan Tebing yang menjadi mukim kariah masjid tersebut. Menurut Bendahari masjid Hj Yusof Bin Yaacob, tabung tersebut dicetuskan oleh Allahyarham Hj Wan Mohd Jamil Wan Mahmood Yang Di Pertua PAS Kawasan Tumpat pada waktu itu dan beliau juga merupakan penyumbang awal tabung tersebut. "Pada waktu itu seramai 62 orang anak yatim telah didaftarkan untuk menjadi penerima sumbangan" katanya.
Menurut Bendahari tabung Hj Mokhtar Bin Abdullah, setelah 20 tahun berkhidmat tabung tersebut telah memberi sumbangan berjumlah RM 220,381.80 dengan 41 kali majlis penyampaian. Untuk kali ini peruntukan sebanyak RM 15,303.10 disediakan oleh tabung untuk disampaikan kepada 199 anak yatim daripada 54 buah keluarga dan majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Hj Kamarudin Jaafar Ahli Parlimen Tumpat. Pada majlis tersebut juga satu ceramah motivasi telah disampaikan oleh Ustaz Hj Saibon Ismail Pegawai Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan kepada anak-anak yatim dan penjaga mereka. Setelah itu Hj Mokhtar yang mewakili seluruh penerima sumbangan secara simboliknya menyerahkan wang bernilai RM 1,373.10 kepada Imam Tua Hj Muhammad Hj Deraman yang juga amil bagi masjid sebagai bayaran zakat fitrah.
Menurut beliau lagi, penyumbang utama Tabung Anak Yatim Masjid As-Somadi Geting ini merupakan individu-individu atau orang perseorangan yang datang berjemaah di masjid melalui tabung yang disediakan dan daripada jualan Kedai Anak yatim yang terdapat di masjid. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penyelia DUN Pengakalan Kubor Wan Rosdi Wan Ibrahim dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Tumpat Mohd Nawawi Hj Adam.
No comments:
Post a Comment